So, here it is, my Malay language oral script for those of u reading BM, enjoy (if u do, that is). Salam mesra membuka kata,Bagi memulakan bicara saga,Salam sejahtera madah bermula,Kepada hadirin pendengar bicara Selamat pagi saya ucapkan kepada Cikgu Mancina. Berdirinya saya di sini pada pagi yang mulia ini bagi menyampaikan syarahan yang bertajuk "Faktor-faktor dan Langkah-langkah membendung Vandalisme”. Sebelum mengemukakan hujah-hujah, izinkan saya mengupas maksud perkataan `vandalisme'. Vandalisme boleh didefinisikan sebagai perbuatan ataupun perlakuan merosakkan, memusnahkan, mengotorkan benda-benda serta peralatan yang bukan kepunyaan sendiri yang seterusnya telah menggugat kesejahteraan hidup orang lain. Sejak kebelakangan ini, isu vandalisme telah menjadi topik yang hangat diperbincangkan. Perbuatan vandalisme ini biasanya dilakukan oleh golongan remaja ataupun generasi muda dalam lingkungan usia 13 tahun hingga 24 tahun. Mereka yang tidak bertimbang rasa ini bertindak merosakkan telefon awam serta tandas awam yang telah disediakan oleh pihak kerajaan, melukis serta menulis perkara yang bukan-bukan di dinding sesebuah bangunan dan sebagainya. Bagi remaja yang masih bersekolah pula, mereka akan bertindak merosakkan kerusi, meja, papan hitam dan lain-lain yang merupakan kepunyaan sekolah serta barang keperluan seseorang pelajar. Hal ini seterusnya telah merosakkan keindahan sesebuah tempat. Secara tidak langsung, nama serta imej Negara kita Malaysia akan terjejas. Oleh itu, marilah kita merenung sejenak memerihalkan faktor-faktor berlakunya vandalisme dan Langkah-langkah yang wajib diambil untuk membendung masalah ini daripada berleluasa. Antara faktor berlakunya vandalisme adalah kurangnya penekanan pendidikan moral serta agama sama ada di sekolah ataupun di rumah. Hal ini penting kerana tanpa pendidikan tersebut, seseorang tidak akan mengetahui nilai-nilai murni yang sepatutnya diamalkan oleh seseorang individu. Mereka tidak akan tahu kepentingan berbuat baik serta mungkin berhadapan dengan kesukaran dalam membezakan betul salah sesuatu perbuatan. Hal ini mungkin berlaku akibat daripada sikap pelajar yang menganggap pendidikan moral tidak berguna serta tidak mendatangkan sebarang manfaat. Guru-guru yang tidak menekankan kepentingan dan kebaikan pendidikan moral di sekolah juga menyebabkan kegagalan mewujudkan generasi muda yang soleh dan solehah. Ibu bapa yang rakus ataupun serakah mengejar kekayaan dan kewangan telah menyisihkan pendidikan yang penting ini. Oleh itu, seseorang itu tidak mendapat pendidikan moral dan agama yang secukupnya lalu bertindak vandalisme kerana tiada pengajaran yang menentang perbuatan itu. Apabila mereka dewasa nanti, mereka juga telah mempraktikkan perbuatan itu dalam kehidupan seharian. Dengan ini, telah jelas menunjukkan bahawa kurangnya pendidikan moral dan agama merupakan salah satu faktor berlakunya vandalisme. Tekanan dan pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu faktor berlakunya vandalisme. Hal ini demikian kerana sejajar dengan pawana globalisasi di Negara kita, Malaysia, pendidikan telah pun semakin dipentingkan serta dititikberatkan. Keadaan ini seterusnya telah menyebabkan ibu bapa mewajibkan anak masing-masing agar lulus peperiksaan dengan keputusan yang cemerlang agar dapat berkhidmat serta menyumbang kepada Negara pada masa hadapan. Oleh itu, seseorang pelajar akan mengalami banyak tekanan hidup untuk belajar dengan bersungguh-sungguh agar tidak mengecewakan harapan ibu bapa masing-masing. Terdapat kemungkinan bahawa individu tersebut akan bertindak melakukan perbuatan vandalisme untuk melampiaskan beban yang dihadapi. Mereka mungkin beranggapan bahawa perbuatan itu amat menyeronokkan dan juga dapat membalas dendam kepada pihak sekolah yang mewajibkan peperiksaan dijalankan. Selain itu, bagi generasi muda pula, ada di antara mereka yang mungkin jatuh di bawah tekanan pengaruh rakan sebaya untuk melakukan perbuatan vandalisme. Hal ini berlaku kerana mereka tidak berpendirian teguh dan lama-kelamaan telah pun mengikuti ataupun mencontohi perbuatan rakan mereka yang tidak senonoh itu. Mereka mungkin juga berhadapan dengan tekanan dalam kerja dan bertindak melakukan vandalisme sebagai satu wadah melepaskan tekanan. Dengan ini; memang tidak dapat disangkal bahawa tekanan dan pengaruh rakan sebaya merupakan faktor berlakunya vandalisme. Pemaparan isu tanpa disusuli tiada pemantauan tidak gunanya. Salah satu langkah yang perlu diambil untuk membendung masalah ini adalah dengan menekankan pendidikan moral dan agama sejak di bangku sekolah lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Perkara ini amat penting sekali agar apabila mereka dewasa nanti, mereka akan mempraktikkan nilai-nilai murni yang telah diajar sejak kecil lagi dalam kehidupan seharian. Pihak sekolah juga harus bertindak menghukum sesiapa sahaja yang telah ditangkap melakukan perbuatan vandalisme dengan harapan bahawa peristiwa pisang berbuah dua kali dapat dicegah ataupun tidak akan mengulangi perbuatan mereka itu. Ibu bapa juga harus mengajar anak masing-masing serta bertindak mendidik mereka apabila mereka ditangkap merosakkan barang-barang kepunyaan orang lain. Pihak ibu bapa sepatutnya mengamalkan budaya sayang anak tangan-tangankan. Berkat kerjasama dari pihak sekolah dan ibu bapa, langkah ini dapat diibaratkan sebagai serampang dua mata. Langkah kaunseling dapat diibaratkan sebagai sudah terang lagi bersuluh. Sesi kaunseling ini penting agar pelajar-pelajar yang menghadapi tekanan dalam pelajaran ataupun daripada rakan-rakan yang memaksa mereka melakukan perbuatan vandalisme ini berpeluang meluahkan serta menyatakan perasaan dan tekanan yang dihadapi masing-masing. Dengan ini, mereka akan berpeluang mendapat nasihat daripada seseorang yang berpengalaman yang seterusnya mungkin dapat menyelesaikan masalah yang harus diharungi oleh pelajar tersebut. Seterusnya,bagi pelajar yang melakukan vandalisme,mereka juga mungkin menyedari kesalahan sendiri dan bertindak mengubah sikap mereka yang salah itu selepas melibatkan diri serta menghadiri sesi kaunseling. Dengan ini, memang dapat dibuktikan bahawa sesi kaunseling merupakan salah satu langkah yang wajib diambil. Tampaknya masa berlalu begitu pantas dan masa tidak mengizinkan saya untuk berhujah dengan panjang lebar lagi. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menyeru kepada semua pelajar agar tidak melakukan perbuatan vandalisme kerana perbuatan itu bukan sahaja merosakkan pemandangan tetapi juga akan menjejaskan nama baik diri serta keluarga. Selain itu, saya juga ingin menekankan kepentingan seseorang pelajar yang melakukan vandalisme ini agar bertaubat serta menjadi individu yang berketerampilan beriltizam dan pragmatik agar visi 2020 akan dapat dilahirkan dengan jayakan. Sekian, terima kasih.
Wednesday, June 14, 2006
Here’s my Malay Language Oral Exam Script ;D
Talked about by Unknown at 11:07 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
You have good BM. I'm jealous
Post a Comment